Assalammualaikum wbt,
Muzik tradisi pengliburlara,
Salam ukhwah pembuka bicara.
Sungguh gemalai tarian Melayu,
Alunan muzik asyik sekali,
Sungguh ku tahu masih baru,
Sedikit sebanyak sudah dipelajari.
Meskipun ketinggalan jauh daripada rakan-rakan yang lain, namun berkat tunjuk ajar yang diberikan dapat juga meneruskan pembelajaran dalam kuliah minggu kedua. Apa yang menarik, kaedah pengajaran yang disampaikan mengabungjalinkan antara bidang muzik dengan beberapa bidang lain seperti antropologi budaya, sejarah serta diselitkan juga dengan unsur sains. Hal ini memberikan perspektif baru kepada saya untuk mempelbagaikan kaedah p&p dari segi kepelbagaian demensi pengetahuan. Kesempatan ini, saya gunakan untuk memahami latarbelakang seni muzik tradisional dengan melihat kepada soundscape, budaya muzik, sejarah, kategori muzik, konsep atau struktur.
Apabila memperkatakan istilah soundscape, perkara ini merujuk kepada bunyi dan pemandangan. Ini bermakna, pemandangan melalui kesan bunyi itu dapat dirasai dengan menggunakan deria telinga yang boleh kita kategorikan bunyi-bunyian tersebut, mengenalpati dengan lebih teliti keadaan bunyi dalam sesuatu suasanan sama ada jelas, merdu, jauh ataupun bunyi yang membuatkan kita selsa mendengarnya. Lantaran itu, tumpuan dan fokus harus diberi penekanan dalam mengesan contohnya situasi seseorang ketika berada di hutan yang terdapat pelbagai jenis hidupan flora dan fauna yang boleh kita kenalpasti satu persatu. Bunyi-bunyian ini juga apabila disatukan akan mencetuskan satu irama muzik yang cukup mendamaikan. Begitu juga bunyi yang terdapat di sekiling kita, apabila disusun boleh menjadi muzik yang amat menarik.
Secara amnya, budaya boleh dimaksudkan sebagai cara hidup manusia. Antara sifat budaya adalah dinamik dan boleh berubah mengikut peredaran serta boleh diwarisi turun-temurun. Budaya muzik adalah budaya masing-masing yang mencakupi keluarga, komuniti, negeri, negara dan puak. Misalnya dalam keluarga baba dan nyonya telah menjadikan dondang sayang sebagai medium hiburan utama dan hal ini telah dikekalkan untuk diwarisi oleh generasi akan datang. Begitu halnya dalam satu penempatan yang menjadikan muzik sebagai simbol budaya mereka yang boleh dijadikan sebagai lambang budaya etnik dan bangsa misalnya muzik dari aluanan wayang kulit, makyung, hadrah, kuda kepang dan zapin. Muzik mempunyai nilai estetika tersendiri, lain negara lain pula interpretasi mereka tentang muzik misalnya menjadikan muzik sebagai amalan ritual (kepercayaan) yang menhubungkan manusia dengan alam ghaib.
Sejarah telah mengajar kita mengenal asal-usul kewujudan kita, sesuatu yang berlaku, pasti ada pangkal dan hujungnya. Begitu juga dalam muzik tradisional, sejarah menyaksikan bahawa proses adaptasi, akulturasi dan asimilasi telah mengubah lanskap muzik di Malaysia bermula sebelum era zaman kegemilangan Melayu Melaka lagi. Secara tidak sedar, pengaruh muzik kita banyak menerap unsur-unsur daripada Arab, China, India, Barat dan beberapa negara Asia Tenggara yang lain antaranya Thailand dan Indonesia. Tidak hairanlah jika kita dapati terdapat persamaan dari segi peralatan muzik yang dimainkan, namun cara alatan itu dimainkan adalah mengikut alunan muzik negara masing-masing misalnnya gabus yang bukan hanya terdapat di Malaysia malah juga di Tanah Arab.
Mengimbas kembali zaman persekolahan, saya pernah terlibat dengan kumpulan pancaragam sekolah. Pernah juga terdetik di fikiran mengapa setiap alat muzik yang dimainkan mempunyai kesan bunyi yang berbeza. Kini, dengan adanya pengetahuan tentang alat muzik, sedikit sebanyak saya dapat mengklasifikasikan dengan memberi kategori muzik tersebut yang terdiri daripada kordofon (daripada petikan tali seperti gitar, rebab, sape dan gambus), membranofon (paluan daripada permukaan yang berkulit seperti gendang, kompang, tabla dan rebana) serta idofon (menghasilkan bunyi melalui tindakbalas pada rangka badan yang bergema seperti peralatan yang yang diperbuat daripada logam antaranya gong dan peralantan muzik gamelan iaitu saron dan gendir), (sumber: Web Warisan Budaya Malaysia).
Terdapat struktur dan konsep muzik dapat dipelajari pada awalnya wujud kekeliruan. Namun, dengan mengemukakan beberapa contoh saya dapat menentukan struktur dan konsep muzik iaitu melodi yang mempunyai susunan irama sesuatu lagu, ritma yang mempunyai detik yang berkala contohnya boleh dikesan dengan menepuk tangan mengikut alunan muzik, bentuk iaitu mempunyai rangkap lagu yang berbeza contohnya A, A, B, A, harmoni yang merupakan gabungan ton muzik contohnya dalam persembahan koir, notasi yang merujuk kepada simbol misalnya di China menggunakan sistem nombor dan akhir sekali adalah ekspresi atau tafsir yang mempunyai dinamik sama ada laju, perlahan, kuat dan lembut.
Keseluruhannya, saya memperoleh satu pengetahuan yang baru di samping mempelajari muzik terdapat banyak perkara yang tersirat yang boleh kita selami bersama. Dengan muzik tanpa kita sedari boleh menyatukan kita dengan alam, sesama manusia serta tuhan. Waalluhualam.
0 comments:
Post a Comment